Alhamdulillah! Akhirnya selesai juga 1 hutang jahat (Pinjaman Peribadi a.k.a Personal Loan) ini dengan Bank Rakyat yang berusia 8 tahun ni. Banyak juga liku dan penjimatan sepanjang 9 tahun ini. Saya pun merupakan musafir di angin lalu. Untuk membuat penjimatan dan mengumpul duit sebagai perantau ini memang satu cabaran dan mengambil masa yang lama.
Saya akui memang kesilapan terbesar saya membuat pinjaman peribadi ini sebab kurang ilmu kewangan, tiada kesedaran kewangan tentang implikasinya. Tapi tanpa pinjaman peribadi ini, memang saya tiada sumber kewangan yang banyak untuk mendirikan rumah tangga dan mempunyai aset tanah pusaka. Sebagai seorang musafir sejak berumur 13 tahun ini dengan hidup merantau, soal kewangan adalah satu benda yang menjadi keutamaan saya.
Pinjaman peribadi ini saya ambil dari Bank Rakyat, saya tak ingat kenapa tapi ia adalah dipengaruhi oleh ahli keluarga sendiri. Lagipun saya telah ada akaun Bank Rakyat sejak tahun 2013 lagi, dan pinjaman peribadi ini saya buat pada tahun 2015/2016. (Rujuk Post terdahulu 'Cara Buka Akaun Bank Rakyat'). Seperti mana-mana Bank, pinjaman peribadi diproses dengan cepat dan bersungguh sekali oleh ejen kerana mungkin mendapat komisen. Dan satu lagi kesilapan dengan pinjaman peribadi ini adalah gabungan dengan hutang jahat lain iaitu hutang kad kredit! lagi bertambah hutang-piutang ini.
Satu hadis tentang hutang ini sentiasa terngiang dalam fikiran saya,
hadis diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud:
“Berhati-hati dengan hutang, sesungguhnya berhutang itu suatu kesedihan pada malam hari dan kerendahan diri (kehinaan) pada siang hari.”
Sejak tahun 2015 sehingga Mei 2023 (8 tahun) saya dah buat bayaran dengan bulanan agak tinggi (tinggi bagi saya) dan saya rasakan ia sangat membebankan dan tidak dapat menyimpan yang banyak. Kehidupan kewangan hanya hidup gaji bulanan demi bulanan. Kemudian pada Mei 2023 terlintas di hati dan mungkin tiba ilham dari Allah untuk saya buat 'overlapping loan' sebab nak kurangkan komitmen bulanan dan ada lebihan menyimpan. Target saya memang nak bayar lumpsum full settlement terus; cuma menunggu masa simpanan mencukupi saja. Banyak juga saya tengok tiktok, youtube oleh content creator niche kewangan. Daripada video-video influencer kewangan ni saya dapat sedikit kesedaran dan keyakinan untuk betulkan semula kewangan saya.
Sebelum saya pergi ke Bank, saya semak dulu akaun dengan Internet Banking i-rakyat yang sudah lama saya tak buka; untuk call Helpline Bank Rakyat ini memang sangat susah untuk tembus, banyak kali saya cuba dan menunggu. Akhir sekali saya buat status Facebook dan tag Bank Rakyat kemudian mesej Bank Rakyat di Facebook dan tinggalkan nama dan nombor telefon seperti diminta; baru pegawai mereka call saya untuk selesaikan isu kena sekat sebab salah password untuk i-Rakyat ni.
Saya ada buat pengiraan juga berapa baki yang tinggal, untuk pengesahan lagi, saya call Tele Bank Rakyat ni lagi untuk tahu anggaran baki jika buat full settlement ni di talian 1-300-80-5454, kali ini menunggu dalam 5-10 minit. Pegawai mereka pun bagitau anggaran sehingga hari berkenaan berapa baki jika hendak bayar full settlement (bayaran langsai). Jika hendak tahu baki sebenar kena pergi ke kaunter bank .
Setelah saya tahu anggaran baki, saya buat pengiraan dan akhirnya buat keputusan untuk langsaikan terus daripada meresahkan jiwa memikirkan hutang ini. Saya standby baki dalam akaun semasa saya dengan jumlah anggaran full settlement. hari isnin 2 Disember 2024 baru saya pergi ke Bank Rakyat Cawangan Seri Kembangan, Serdang Raya. Bank di lot bangunan dalam 3 tingkat.
Apabila sampai ke Bank Rakyat, saya bertanya kepada pengawal keselamatan untuk buat full settlement personal loan...dengan siapa saya perlu berjumpa?, kemudian pegawai kaunter maklumkan saya pergi ke tingkat 3 berjumpa dengan pegawai sekian.
Pegawai yang hendak berjumpa tu tiada @ tengah solat maka pegawai lain mengambil alih tugas dengan minta Kad pengenalan saya untuk semak kemudian 1 slip yang ada maklumat baki bayaran jika hendak buat full settlement pada hari ini, tempoh matang sehingga April 2028 (lambat lagi). Dengan jumlah full settlement jika dibayar pada hari ini itu cukup dengan baki akaun semasa saya, tanpa melengah masa saya terus maklumkan untuk buat full settlement terus dengan debit akaun semasa (Debit tu maksudnya tolak dari akaun semasa)
Kemudian saya diberikan satu borang (Format surat dari Pemilik akaun kepada pengurus bank) menyatakan saya bersetuju untuk menolak duit dari akaun semasa bagi melangsaikan hutang pinjaman peribadi ni. Oleh kerana hanya 1 orang customer sahaja, jadi saya tak menunggu lama untuk nombor giliran. Tiba giliran di kaunter cuma bagi kad pengenalan, semakan dan pegawai terus proses dan dalam 1 minit... ITU SAHAJA! SELESAI!
Alhamdulillah. Walaupun habis duit simpanan menyelesaikan pinjaman peribadi ni tapi saya rasa seperti 1 ikatan yang menjerut leher terlepas dan dapat bernafas dengan tenang. Sekarang kena fokus untuk menyimpan dan menabung pula!!
"Biar miskin membayar hutang dari kaya dengan pinjaman duit bukan hak kita"
Bila kita ada duit secukupnya, hidup mula terasa tenang dan bahagia tapi harus dikawal adalah nafsu diri sebagai manusia yang tak pernah berasa cukup.
“Barangsiapa yang mengambil harta orang lain (berhutang) dengan niat ingin membayarnya kembali, Allah akan menolongnya dalam membayar kembali, namun barangsiapa yang mengambilnya dengan niat untuk menghilangkannya, maka Allah akan menolong menghilangkannya”. (Riwayat al-Bukhari).Sebagai orang muslim (orang Islam) kita kena percaya yang hutang sesama manusia ni jika tidak dilangsai akan tergantung hingga ke akhirat. Ada terbaca satu kisah juga mengatakan Rasulullah pun tidak akan solat jenazah yang masih ada hutang. Orang yang mati syahid pun jika ada berhutang masih tak mampu dapat kebaikan syahid.
INGATLAH! SELESAIKAN HUTANG ANDA!
Tags:
bank